Saturday, January 5, 2008

Noryn Aziz dipilih sertai IKON Malaysia

BIARPUN meletakkan dirinya sebaris dengan artis baru yang sedang meningkat naik, namun nama Noryn Aziz atau Noryn, 31, begitu cepat dikenali malah muziknya juga semakin diterima ramai.

Terpilih sebagai salah seorang peserta pertandingan IKON Malaysia musim kedua yang akan disiarkan oleh Astro Ria pada pertengahan tahun ini, Noryn seharusnya berbangga kerana bukan semua artis baru sepertinya berpeluang untuk melayakkan diri ke pertandingan seperti itu.

Ini kerana bukan calang-calang artis yang boleh menggalas tanggungjawab sebagai ikon yang mewakili rakyat Malaysia dalam bidang nyanyian.

Apatah lagi, juaranya nanti bakal berentap dengan juara-juara IKON dari beberapa negara Asia yang bertanding bagi merebut gelaran juara Ikon ASEAN.

Justeru, Noryn menganggap pertandingan tersebut sebagai satu titik permulaan baginya untuk mempersembahkan kepada khalayak tentang bakat yang dimilikinya.

Noryn yang ditemui di kediaman pengurusnya di Kondominium Kyoto Garden, Bukit Antarabangsa, baru-baru ini berkata, “Sebelum ini Noryn kurang ditonjolkan di kaca TV. Jadi, dengan menyertai IKON Malaysia, Noryn harap dapat kongsi bakat yang Noryn ada dengan peminat.

“Noryn anggap ini sebagai satu platform yang baik bagi Noryn untuk mengetengahkan genre muzik yang Noryn bawa.

“Tidak semua artis baru macam Noryn berpeluang tunjukkan kepada masyarakat tentang bakat yang dimiliki.

“Memang rasa berdebar sangat, tambahan pula juaranya nanti berpeluang untuk bersaing dengan wakil dari negara-negara Asia yang bertanding,” kata Noryn.

Antara artis lain yang turut bertanding dalam IKON Malaysia musim kedua ialah Liza Hanim, Mila AF5 dan Farah Wahida.

Ditanya tidakkah dia khuatir sekiranya gagal mendapat tempat di hati peminat, kata Noryn; “Manusia memang selalunya berbeza pendapat. Jadi apa yang penting, Noryn akan jadi diri Noryn sendiri dan tidak berpura-pura.

“Kalau gagal tak apa, sebab ini merupakan ruang untuk Noryn menimba pengalaman. Bagi Noryn, muzik yang cuba Noryn bawa adalah untuk dikongsi. Biarpun tak dapat puaskan hati semua pihak, tapi Noryn akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Pernah gagal dalam nyanyian menerusi kumpulan Sister-Sister sekitar 1990-an, Noryn melangkah pula ke alam perkahwinan lewat usianya 22 tahun sekitar 1998.

Sejak itu, hampir 10 tahun Noryn menyepikan diri. Tapi November tahun lalu Noryn mengorak semula langkahnya sebagai anak seni melalui album solo pertamanya berjudul Alam Maya.

Pengalaman lalu menjadikannya melangkah lebih yakin untuk tampil secara solo dalam bidang nyanyian. Biarpun sukar, namun wanita jelita bermata cantik ini tidak mudah mengalah malah berusaha keras membina kerjayanya.

Yang bulat tak akan datang bergolek. Menurut Noryn, apa yang dimilikinya kini tidaklah semudah yang disangka. Katanya, dia perlu berusaha lebih keras untuk mencapai matlamatnya dalam bidang nyanyian.

“Noryn jenis yang perlu berusaha jika nak dapatkan sesuatu. Noryn yakin boleh berjaya asalkan Noryn berusaha,” katanya.

Menurut Noryn, sebelum ini dia pernah berputus asa dalam bidang nyanyian. Tapi katanya, sejak gagal dalam rumah tangga dia mula membina keyakinan diri dengan mendalami ilmu muzik di International Collage Of Music (ICOM), Kuala Lumpur.

Kata Noryn, dia banyak menimba pengalaman ketika menyanyi di kelab-kelab, majlis perkahwinan, majlis-majlis rasmi dan apa juga penglibatan muzik yang boleh menghasilkan pendapatan.

Baginya, dengan cara itu sahajalah dia boleh menunjukkan bakat dan minatnya yang mendalam dalam bidang muzik.

Walaupun agak sukses dalam nyanyian, namun penampilan Noryn yang agak seksi sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang di kalangan peminatnya.

Katanya; “Bagi Noryn apa yang Noryn pakai disesuaikan dengan figura dan jenis muzik yang Noryn bawa.

“Noryn memang suka berpakaian dan suka pada fesyen. Sebab tu Noryn tak kisah dalam bab pemakaian.

“Bagaimanapun, pada tahun ini Noryn berazam untuk cuba kurangkan imej seksi tu,” katanya.

Source : Utusan Online

No comments: